KLUANG – Enam pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di sini yang dipercayai membuli junior mereka direman selama empat hari sehingga Rabu ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Nor Aziela Sidek dan kesemua mereka berusia 16 tahun direman bagi membantu siasatan Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kluang pada pukul 9 pagi dengan menaiki lori polis.
Keenam-enam suspek kelihatan sugul selepas mahkamah menetapkan perintah tahanan reman terhadap mereka.
Semalam, tular di media sosial kenyataan ahli keluarga mangsa yang mendesak pihak pentadbiran dan polis menyiasat kejadian buli berkenaan.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua cedera parah pada bahagian otot dada dan paru-paru hampir pecah dibelasah pelajar junior di asrama sebuah sekolah berasrama penuh di Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pada Selasa lalu kira-kira pukul 3 petang pengadu seorang wanita membuat laporan polis menyatakan bahawa anak dan rakannya berusia 14 tahun telah dipukul oleh beberapa pelajar senior di sekolah berkenaan.
Hasil siasatan awal, pengadu mendapat tahu mengenai kejadian pukul itu selepas memeriksa mesej di telefon bimbit anaknya yang mengadu kepada rakannya bahawa mereka telah dipukul oleh pelajar senior.-K! ONLINE