fbpx

Lelaki miliki 16 rekod jenayah diberkas curi kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khaizam (tengah) menunjukkan kabel yang dicuri suspek dalam kejadian di pencawang dekat Ladang Changkat Salak di Sungai Siput, kelmarin.

SUNGAI SIPUT – Tidak serik-serik melakukan jenayah, seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod lampau sekali lagi ditangkap selepas disyaki mencuri kabel di pencawang dekat Ladang Changkat Salak di sini kelmarin.

Lelaki berusia 38 tahun itu diberkas dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput pada pukul 4.20 petang.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, semasa pihaknya sampai di lokasi kejadian, suspek yang baharu selesai mencuri kabel bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Katanya, suspek yang tidak mengendahkan arahan agar memberhentikan kenderaan kemudiannya telah melanggar seorang anggota polis berpangkat koperal.

“Tindakan suspek itu bagaimanapun membawa padah apabila motosikal ditunggangnya terbabas dan masuk ke dalam parit berhampiran laluan masuk ke pencawang berkenaan.

“Pemeriksaan pada motosikal suspek menjumpai 98 batang kabel yang telah dipotong di dalam bakul selain peralatan yang digunakan untuk memotong kabel dan sebilah pisau menyerupai kerambit,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sungai Siput di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khaizam, siasatan mendapati nilai kabel yang dicuri suspek berjumlah RM200,000 dan lelaki terbabit dipercayai turut terlibat dalam sembilan kes kecurian kabel di daerah itu.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine dan morfin serta mempunyai 16 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Suspek direman lima hari hingga Rabu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan ke atas suspek yang bekerja di kedai barang terpakai itu telah berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kabel dan pecah pencawang di daerah Sungai Siput,” katanya.

Tambah beliau, anggota polis yang dilanggar suspek mengalami kecederaan ringan luka di siku kanan dan terseliuh di pergelangan kaki kiri. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI