MONTE CARLO – Pelumba pasukan Ferrari, Charles Leclerc menegaskan, dia langsung tidak berminat untuk berhijrah ke Mercedes, sebaliknya akan terus setia membantu pasukannya kembali ke prestasi terbaik.
Leclerc yang memiliki kontrak bersama Ferrari sehingga 2024 langsung tidak berhasrat menyertai Mercedes biarpun pasukan dari Jerman itu baru memenangi kejuaraan dunia ketujuh berturut-turut minggu lalu.
Pelumba Monaco itu bagaimanapun tetap menyanjung kemampuan Mercedes serta menghormati dua pelumbanya, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas yang dianggap sebagai pelumba terbaik.
“Mercedes sudah melakukan tugas yang cukup baik sepanjang musim ini. Tidak dinafikan, saya sangat menghormati serta menyanjung cara mereka bekerja.
“Bagaimanapun, saya lebih memilih untuk kekal di Ferrari. Saya sedia untuk lakukan segala-galanya bagi memastikan pasukan kembali ke prestasi sebenar,” ujar pelumba berusia 23 tahun itu.
Ketika ditanya sama ada dia berminat untuk menggunakan enjin Mercedes di jenteranya, Leclerc menolak cadangan itu kerana percaya pasukannya ada jalan penyelesaian terhadap aksi longlai musim ini.
“Tidak (guna enjin Mercedes). Saya adalah pelumba Ferrari dan bangga bersama pasukan legenda ini. Apa yang saya mahu sekarang adalah Ferrari kembali digeruni seperti dahulu,” katanya. – AGENSI