KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian bagi permohonan kemudahan pengeluaran simpanan persaraan secara bersasar daripada Akaun 1 selewat-lewatnya pada Rabu ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, langkah membenarkan ahli mengakses simpanan persaraan KWSP mereka selain daripada yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP 1991 adalah sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Pun begitu, kami khuatir bantuan sedia ada tidak mencukupi bagi mereka yang memerlukan lebihan aliran tunai bagi menyokong diri dan keluarga ketika gelombang baharu Covid-19 mengakibatkan ketidaktentuan dalam pemulihan ekonomi.
“Akaun 1 (70 peratus simpanan) selama ini telah ditetapkan untuk persaraan ahli sementara Akaun 2 (30 peratus simpanan) diperuntukkan bagi pengeluaran tertentu sahaja.
“Ini bukan keputusan mudah dan boleh dibuat secara terburu-buru, namun kami telah menemui jalan tengah bagi membolehkan ahli mengakses simpanan tanpa menjejaskan persaraan mereka pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Menteri Kewangan menerusi pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu mengumumkan kemudahan pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP pada kadar RM500 sebulan, untuk 12 bulan sehingga RM6,000 bagi ahli yang kehilangan pekerjaan.
Kemudahan tersebut, yang diberikan bermula Januari tahun depan diunjurkan melibatkan keseluruhan bayaran berjumlah RM4 bilion.
Selain itu, kata Alizakri, pihaknya juga menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan kadar caruman minimum syer pekerja kepada sembilan peratus mulai Januari 2021 hingga Disember 2021 yang mengambil kira tekanan ekonomi dan pengurangan pendapatan ahli.
“Pandemik masih belum reda dan kita harus hidup dengannya selama beberapa tahun akan datang.
“Kami berharap wang tambahan untuk ahli kami dapat meningkatkan pendapatan boleh guna mereka dan memacu perbelanjaan domestik,” katanya.