Oleh MOHD RAFIE AZIMI
KERJA keras dan kesungguhan yang dipamerkan oleh para pemain Kedah ketika berjaya membenam cabaran Pahang 3-2 pada aksi pembukaan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman kelmarin mendapat pujian jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak.
Bagaimanapun, pada masa sama jurulatih berusia 43 tahun itu mahu anak-anak buahnya belajar menyerap tekanan terutamanya apabila diasak oleh pasukan lawan yang mahu menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 0-3 dalam babak pertama perlawanan.
Menurutnya, aksi Kedah dilihat kelam-kabut apabila ditekan Tok Gajah hingga membolehkan pasukan lawan menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua.
“Adalah sesuatu yang normal dalam bola sepak di mana lawan yang ketinggalan akan menekan pasukan yang mendahului habis-habisan.
“Jadi, anak-anak buah saya perlu belajar untuk berdepan situasi ini apatah lagi ketika menentang pasukan kuat seperti Pahang.
“Namun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan aksi ditampilkan pemain yang membolehkan kita mencapai kemenangan malam ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan.
Dalam perlawanan itu, gol Kedah disumbangkan Muhammad Shakir Hamzah, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre pada minit ke-17, 35 dan 43, manakala Pahang membalas dengan dua gol hasil jaringan Muslim Ahmad serta Mohd Faizal Abdul Rani pada mini ke 49 dan 88.
Mengulas lanjut Aidil berkata, kejayaan menguasai perlawanan dalam separuh masa pertama memberi kelebihan kepada Kedah untuk menundukkan Pahang.
“Kami mencipta banyak peluang dalam perlawanan ini terutamanya dalam separuh masa pertama. Walaupun tidak semuanya menghasilkan gol, namun ini petanda baik yang menunjukkan pemain berusaha keras memenangi perlawanan.
“Sejujurnya, kita tidak menyangka mendapatkan tiga gol dalam separuh masa pertama,” ujarnya.