MILAN – Bekas bintang Denmark, Michael Laudrup menggesa Christian Eriksen untuk segera meninggalkan Inter Milan kerana pasukan itu sudah tidak memerlukan khidmatnya.
Eriksen menyertai Inter pada Januari lalu selepas menandatangani kontrak selama empat tahun setengah tetapi kariernya dilihat semakin suram bersama pasukan itu.
Perancang tengah Denmark itu dilihat kerap memanaskan bangku simpanan dan jurulatih, Antonio Conte tidak begitu gemar untuk menggunakan khidmatnya sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada jendela perpindahan musim panas nanti.
“Saya tidak percaya jika ada yang mengatakan dia tidak sesuai dengan bola sepak di Itali.
“Dia adalah seorang pemain yang baik. Eriksen mempunyai dua pemain tengah di belakangnya dan dua penyerang handalan, Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez yang secara teknikalnya mampu memudahkan tugasnya.
“Mungkin ada banyak faktor. Secara mental dan budaya boleh menjadi sebab mengapa dia gagal bersinar, tetapi jika alasannya adalah kerana dia gagal menyesuaikan diri, saya tidak percaya.
“Saya lihat banyak laporan akhbar tempatan di Itali menyebut bahawa masa depan Eriksen di Inter sudah berakhir. Pastinya mereka mendapat maklumat daripada pihak tertentu dan saya fikir sudah tentu ia dari sumber dalaman kelan sendiri.
“Eriksen sudah boleh memikirkan mengenai sesuatu yang baharu. Ia mungkin tidak mudah untuk mencari kelab yang mampu membayar nilai dan gajinya yang ditinggi terutama ketika dia juga jarang beraksi ketika ini,” katanya. – AGENSI