Oleh MOHD RAFIE AZIMI
KEGAGALAN Pahang untuk meneruskan kemaraan pada saingan Piala Malaysia musim ini selepas tunduk 2-3 kepada Kedah di Stadium Darul Aman kelmarin menyebabkan kedudukan jurulatihnya, Dollah Salleh menjadi tanda tanya.
Selain itu, skuad Tok Gajah juga mempamerkan aksi hambar pada saingan Liga Super apabila sekadar berada di kedudukan kelapan liga dengan hanya mengutip 14 mata daripada 11 perlawanan.
Begitu pun menurut Dollah, beliau tidak khuatir dengan perkara tersebut yang menjadi lumrah dalam kehidupan seorang pemain dan jurulatih.
“Tentang masa depan saya bersama Pahang, itu ‘belakang kira’. Kalau dikekalkan, maka saya akan terus berkhidmat untuk pasukan ini.
“Itu sememangnya lumrah. Tiada apa yang perlu dikhuatirkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pahang tewas 2-3 kepada Kedah di Stadium Darul Aman, kelmarin.
Perjalanan Pahang pada musim ini cukup berliku apabila dihimpit masalah kecederaan pemain utamanya selain isu melibatkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.
Keadaan itu nyata menyukarkan Dollah untuk mengatur perancangan terbaik buat Pahang hingga ada penyokong menuntut beliau digugurkan musim depan.
Mengulas mengenai aksi bertemu Kedah, Dollah mengakui para pemain Pahang khususnya di bahagian pertahanan mengambil sikap sambil lewa hingga membolehkan Kedah memperolehi gol mudah.
“Kesilapan mudah membuatkan perancangan kita tidak menjadi. Pada waktu rehat saya katakan kepada pemain, jika sikap sama ditunjukkan, Kedah akan jaringkan lebih banyak gol.
“Akhirnya permainan berubah, namun nasib tak menyebelahi apabila kita cuma memperolehi dua gol. Terkilan juga Dickson Nwakaeme gagal menyempurnakan penalti,” katanya.