fbpx

Bapa masih sukar lupa memori hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol ( dua dari kanan) melawat Ismail (kiri) dan isterinya, Zaini yang terlantar sakit di Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Biarpun enam hari sudah berlalu, keluarga Siti Nur Surya Ismail, 19, masih sukar untuk menerima kenyataan remaja perempuan itu menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata, dia sekeluarga masih terkenangkan Siti Nur Surya seolah-olah anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu berada bersama mereka di dalam rumah.

“Pagi tadi (semalam), saya pulang ke rumah di Kampung Lubuk Batu, Telemong di Hulu Terengganu untuk mengemas. Apabila memasuki bilik tidur arwah, saya berasa sebak.

“Masih ada kesan darah pada langsir bilik tidurnya. Saya tanggalkan (langsir) dan bakar bagi memadam memori hitam ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong di sini semalam.

Ismail tidak dapat mengawal perasaan semasa pengebumian anaknya, Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu pada 3 November lalu.

Terdahulu, Ismail diziarahi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Rosol Wahid.

Bercerita lanjut, Ismail memberitahu, anak bongsunya, Nur Liyana Syuhada, 15, merupakan individu yang paling terkesan dengan kejadian itu kerana remaja tersebut rapat dan tidur bersama kakaknya.

Jelas Ismail, Nur Liyana Syuhada kelihatan murung, kerap termenung dan menangis di dalam bilik kerana terkenangkan kejadian ngeri yang menimpa kakaknya.

“Arwah seorang anak yang ringan tulang dan selama ini dia menguruskan ibunya (Zaini Musa) yang terlantar akibat barah otak, jadi kehilangannya amat dirasai,” katanya.

Artikel berkaitan: Anak mati dibunuh depan ibu

Tambah Ismail, dia tidak menaruh sebarang dendam terhadap keluarga suspek, namun sehingga hari ini mereka belum tampil bertemu dengannya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya merampas sebilah pisau yang dibuang di tepi Lebuh Raya Pantai Timur 2, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

“Senjata tajam itu diambil dari rumah mangsa. Setakat ini hampir 20 individu dipanggil memberi keterangan berhubung kes bunuh itu,” katanya.

Kosmo! pada 2 November lalu melaporkan Siti Nur Surya ditemui dalam keadaan tertiarap dengan pergelangan tangan kirinya putus di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Batu.

Mayatnya mangsa ditemui adik bongsunya yang baru pulang dari sekolah pada pukul 2.30 petang.

Susulan kejadian itu, polis menahan rakan baik mangsa berusia 19 tahun bagi membantu siasatan. Motif dipercayai akibat pertengkaran mulut sebelum berakhir dengan pembunuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI