JOHOR BAHRU – Kesemua 969 institusi pendidikan Islam kerajaan dan swasta yang berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan tutup mulai esok hingga 17 Disember depan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, langkah ini diambil bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantai penularan jangkitan wabak Covid-19.
Katanya, penutupan ini melibatkan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Tadika Agama Johor (195), Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (571), Sekolah Menengah Agama Negeri Johor (2), Maahad Tahfiz Negeri Johor (1), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Rendah (8) dan SABK Menengah (20).
Tambahnya, turut terlibat sama ialah Sekolah Rendah Agama Rakyat (5), Sekolah Rendah Agama Swasta (31), Sekolah Menengah Agama Swasta (9), Madrasah Tahfiz Swasta (109), Madrasah Pondok Swasta (13) dan Madrasah Malabar Johor (4).
“Bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, segala perubahan dan perkembangan berkaitan peperiksaan akan dimaklum pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
“Manakala peperiksaan yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ seperti Peperiksaan Ujian Kelayakkan Darjah Khas (UKDK), Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) akan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tosrin memberitahu, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid.
Katanya, bagi sepanjang tempoh itu juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing serta sentiasa mematuhi arahan-arahan semasa Bahagian Pendidikan Islam JAINJ, KPM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelasnya, takwim penggal persekolahan dan cuti persekolahan bagi tahun depan akan diselaraskan semula oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.
“Bagi murid yang tinggal di asrama, ibu bapa dan penjaga mempunyai masa sehingga Selasa ini (10 Nov) untuk mengambil mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Sepanjang tempoh itu, murid akan berada di bawah pengawasan warden asrama manakala keperluan makan dan minum murid akan disediakan pihak sekolah sepanjang tempoh berkenaan,” ujarnya.-K! ONLINE