PETALING JAYA – Seramai 591 individu telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 511 individu telah dikompaun, empat direman dan empat telah dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuklah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (206), tidak memakai pelitup muka (126) dan gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (67).
“Sebanyak 23 premis beroperasi lebih masa, aktiviti pusat hiburan (9), dan lain-lain (88),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 53,389 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 2,458 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,015 anggota telah membuat pemantauan di 3,469 pasar raya, 4,982 restoran serta 1,591 penjaja, 1,227 kilang, 3,327 bank dan 528 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 1,076 terminal pengangkutan darat, 233 terminal pengangkutan air serta 80 terminal pengangkutan udara,” katanya. – K! ONLINE