PARIS – Sebuah apartmen milik seorang puteri Arab Saudi dirompak oleh individu yang tidak dikenali sekali gus mengakibatkan kerugian bernilai 600,000 euro (RM2.9 juta) di kota Paris baru-baru ini.
Menurut sumber, sejumlah beg, jam tangan, barang kemas dan kulit haiwan disedari hilang sejurus puteri itu masuk ke dalam apartmen berkenaan yang telah ditinggalkan sejak bulan Ogos lalu.
Puteri berusia 47 tahun yang tidak didedahkan identitinya terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara terkejut dengan kejadian kecurian tersebut.
“Pencuri dipercayai pecah masuk ke apartmen tanpa menggunakan sebarang kekerasan kerana tiada kesan umpilan ditemui pada pintu.
“Barang yang hilang termasuk 30 buah beg jenama Hermes bernilai antara 10,000 euro (RM49,020) hingga 30,000 euro (RM147,070) setiap satu, jam tangan jenama Cartier, barang kemas dan kulit serta bulu binatang,” kata sumber.
Sementara itu, sumber sama berkata, pihak pendakwa raya telah membuka kertas siasatan dan unit khas polis Paris akan menjalankan penyiasatan lanjut berkait jenayah itu.
Akhbar tempatan, Le Parisien melaporkan, suspek dikatakan seorang lelaki dan pernah tinggal di apartmen berkenaan sejak Ogos lalu.
Laporan juga mendedahkan segugus kunci pendua apartmen itu didapati hilang. – AFP