ANKARA – Turki memecat gabenor bank pusat negara itu, Murat Uysal dan melantik bekas menteri kewangan, Naci Agbal sebagai pengganti, kata pejabat presiden hari ini.
Pengumuman tersebut dibuat selepas mata wang lira merekodkan nilai terendah pernah dicatatkan negara itu.
Uysal dipecat daripada jawatan gabenor hanya selepas 16 bulan memegang jawatan tersebut dan pihak pejabat presiden tidak menyatakan sebab pemecatan tersebut.
Terdahulu, Uysal diberi tanggungjawab itu selepas berlaku perselisihan faham antara bekas gabenor sebelumnya, Murat Cetinkaya dan Presiden Recep Tayyip Erdogan terhadap isu pengurangan kadar faedah.
Erdogan tidak bersetuju dengan kadar faedah yang tinggi dan pada Sabtu lepas, beliau memberitahu, Turki cuba melawan penglibatan dalam segi tiga ‘syaitan’ yang melibatkan kadar faedah, pertukaran mata wang dan inflasi.
Sejak beberapa bulan lalu, mata wang lira jatuh pada kedudukan paling rendah dalam sejarah negara Turki.
Setakat petang semalam, 8.52 lira Turki adalah bersamaan AS$1 dolar.
Mata wang Turki telah kehilangan hampir 30 peratus daripada nilai asalnya berbanding dolar AS pada tahun ini.
Pasaran menunjukkan kebimbangan kepada kemungkinan berlakunya peningkatan inflasi dua digit dan kejatuhan teruk mata wang lira di peringkat antarabangsa.
Bank pusat Turki sebelum ini mengunjurkan nilai mata wang lira dapat ditingkatkan sekiranya kadar faedah diturunkan, namun perkara tersebut tidak berlaku.
Bank pusat itu juga mengejutkan pihak pelabur pada September lalu apabila menaikkan nilai polisi buat pertama kali sejak 2018 dari 8.25 peratus kepada 10.25 peratus.
Keputusan lanjut bank pusat berkaitan kadar faedah akan ditetapkan oleh jawatankuasa terlibat pada 19 November ini. – AFP