PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil memberi penjelasan bagi menepis tohmahan kononnya Belanjawan 2021 (B2021) mengurangkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, peruntukan B2021 untuk Kementerian Kesihatan adalah RM31.9 bilion, lebih tinggi dari RM30.6 bilion pada tahun 2020.
Tambah beliau, di dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis sebanyak RM4.29 bilion telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran 080000 (Program Khusus).
“Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion.
“Inilah sebabnya mengapa jumlah peruntukan di bawah butiran 020000 (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tengku Zafrul berkata, butiran itu mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi justeru, hakikat yang sebenar adalah tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan.
Beliau berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.
Dari segi lain pula, katanya, kerajaan menyediakan RM420 juta untuk tingkatkan Rancangan Makanan Tambahan dengan bekalan susu setiap hari persekolahan buat manfaat murid dari keluarga berpendapatan rendah.
“Kita mahu anak-anak membesar dengan sihat, mendapat pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh,” katanya.
Jelasnya, seperti yang diumumkan semalam, kerajaan memperuntukkan RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19.
“Selain itu, RM318 juta bagi penyediaan peralatan kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan kita; RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19; RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.
“Kerajaan juga menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu,” katanya. -K! ONLINE