fbpx

K2

Teknik landbase jigging tawan ikan besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD NOR menunjukkan kerapu yang ditangkapnya menggunakan kaedah landbase jigging di sekitar benteng pemecah ombak di Kuala Tok Bali, Pasir Puteh baru-baru ini.

SEORANG kaki pancing tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli umpan ikan, sotong atau udang hidup jika berhajat ingin keluar memancing di tengah laut.

Percayalah, ikan-ikan besar lebih tertarik untuk merentap besi atau umpan palsu yang digunakan pemancing berbanding merentap umpan ikan atau hidupan laut sebenar.

Umpan palsu mampu milik dijual pada harga RM5 hingga RM24 mengikut saiz di kedai peralatan memancing atau secara online.

Bahkan, ada dalam kalangan pemancing yang mampu mencipta sendiri replika kecil ikan palsu sebagai umpan.

Umpan palsu ternyata sinonim dengan aktiviti landbase jigging yang menjadi kegilaan kaki pancing.

Ini kerana, ia lebih menjanjikan hasil lumayan apabila berupaya mendaratkan ikan gred A seperti siakap, lemoh dan jenahak terutamanya di laut atau pesisiran pantai.

Landbase jigging adalah satu teknik menangkap ikan-ikan besar menggunakan umpan palsu (jig) yang dilempar sehingga ke dasar laut.

 

SEBAHAGIAN koleksi umpan jig Muhamad Nor yang digunakan untuk aktiviti landbase jigging.

 

Seorang pemancing tegar, Muhamad Nor Firdaus, 19, berkata, teknik itu lebih mengujakan sekiranya turut menggunakan alat sonar untuk mengesan lubuk, jenis ikan dasar laut atau sungai air payau.

Menurutnya, benteng pemecah ombak di sekitar Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu merupakan lubuk ikan baginya berdasarkan pengalaman mencuba nasib di dua lokasi tersebut.

“Jarak antara Kuala Tok Bali dengan Kuala Besut adalah 12 kilometer yang memerlukan tempoh perjalanan selama 14 minit. Sekiranya tiada rezeki di Tok Bali, saya akan ke Kuala Besut dan lazimnya tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya kepada K2.

Muhamad Nor berkata, jig akan dibaling sejauh mungkin dan rod pancing ditarik dengan laju seolah-olah ikan sedang berenang.

“Teknik ini menarik perhatian ikan untuk menyambar, malah pemancing perlu sentiasa bersedia menerima tarikan ganas dan mengendalikan joran dengan sebaik mungkin. Lazimnya saya menggunakan jig berukuran 3 hingga 5 sentimenter dengan kadar berat 3 hingga 15 gram,” ujarnya.

 

IKAN lemoh yang jarang ditangkap di perairan Kelantan dan Terengganu berjaya didaratkan Muhamad Nor menggunakan umpan besi.

 

Menurutnya, saiz kekili juga perlu sepadan dengan berat jig agar boleh digunakan bersama pada air dalam dan arus deras.

Tambah Muhamad Nor yang minat memancing sejak berusia 14 tahun, penggunaan jig dapat menjimatkan perbelanjaan membeli umpan dan boleh dibawa pada bila-bila masa.

“Menerusi teknik landbase jigging, saya mampu mendaratkan ikan kerapu, lemoh, jenahak dan siakap di kedua-dua lokasi itu dalam tempoh antara empat hingga lima jam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI