fbpx

Sanggup lapar 103 hari kerana jadi mangsa tahanan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Palestin melakukan tunjuk perasaan mendesak pembebasan Maher di Tebing Barat 14 Oktober lalu. - AFP

BAITULMUQADDIS – Seorang tahanan warga Palestin oleh tentera Israel atas dakwaan menyertai satu kumpulan militan akhirnya menamatkan mogok puasa selama 103 hari, menurut isterinya semalam.

Pengumuman itu dibuat pada ketika orang ramai berasa bimbang terhadap kesihatan Maher al-Akhras, individu yang mengadakan protes kerana ditahan tanpa didakwa oleh rejim Zionis.

Taghrid al-Akhras memberitahu agensi berita AFP bahawa suaminya ‘sudah menamatkan protes tahan lapar selepas 103 hari’.

Perbualan menerusi satu panggilan telefon dibuat dari sebuah hospital Kaplan di Rehovot, sebuah bandar di Tel Aviv iaitu lokasi sama Maher menerima rawatan berhubung kesihatannya.

Maher, 49, ditahan dekat bandar Nablus di Tebing Barat pada Julai lalu dan dia ditempatkan dibawah tahanan pentadbiran, satu polisi oleh Israel untuk mengurung suspek militan tanpa pertuduhan.

Israel menuduh tahanan itu mempunyai kaitan dengan satu kumpulan pejuang bersenjata Pergerakan Jihad Islam Palestin Bapa kepada enam anak itu kemudian mengadakan protes puasa selepas rejim Zionis mengeluarkan arahan tahanan selama empat bulan yang akan tamat pada 26 November ini.

Menurut Kelab Banduan Palestin, Maher menamatkan protes puasa selepas pihak tentera Israel mengesahkan tidak akan melanjutkan tempoh penahanan selepas tarikh berkenaan tamat.

Seorang jurucakap Perkhidmatan Keselamatan Shin Bet Israel pula memberitahu pihaknya tidak dapat mengesahkan sebarang persetujuan mengenai isu berkenaan.

Lima anggota Parlimen Israel melawat Maher yang menerima rawatan di bilik hospital dan membuat pengumuman melalui penstriman langsung di Facebook bahawa protes puasa sudah berakhir.

Taghrid mengakui berasa gembira tetapi pada masa sama diselubungi rasa bimbang tentang keadaan kesihatan suaminya yang disifatkan sebagai berbahaya termasuk serangan kejutan secara tiba-tiba.

“Setiap hari, dia mati 100 kali di depan mata saya dan saya tidak mampu buat apa-apa,” katanya.

Maher dipindahkan dari penjara ke hospital pada awal September lalu selepas keadaan kesihatannya merosot teruk.

Seorang jurucakap hospital Kaplan berkata, Maher akan kekal lebih lama di hospital buat masa ini tanpa mendedahkan perincian lanjut.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah pada bulan lalu memberi amaran bahawa Maher mungkin mengalami ‘kesan kemudaratan teruk yang sukar untuk pulih’.

Maher kemudian dipindahkan ke wad perubatan dekat Penjara Ramla tetapi Mahkamah Agung Israel mengarahkan tahanan dipindahkan semula ke Kaplan.

Peguam Maher sudah beberapa kali membuat rayuan agar anak guamnya dibebaskan awal atau dirujuk ke sebuah hospital Palestin.

Kementerian Luar Israel kelmarin mendakwa pihak pemerintah sedang melakukan semua perkara untuk memastikan kesihatan Maher berada dalam keadaan baik.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menuntut agar Maher dibebaskan secepat mungkin pada ketika warga Arab-Israel dan Palestin mengadakan bantahan untuk memberi sokongan kepada tahanan rejim Zionis itu.

Sebelum ini, tentera Israel pernah beberapa kali menahan Maher.

Hampir 355 warga Palestin termasuk dua kanak-kanak berada bawah arahan tahanan pentadbiran Israel sehingga Ogos lalu, menurut kumpulan hak asasi B’Tselem. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI