PETALING JAYA- Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri di Semenanjung Malaysia selama empat minggu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Terbaru, tanda pagar #PKPB menjadi sohor kini di laman sosial media Twitter apabila ia mendapat ciapan lebih 2,400 reaksi sejak perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Rata-rata netizen melahirkan pelbagai pandangan dan reaksi apabila perlu berada semula di dalam tempoh PKPB bermula 9 November hingga 6 Disember depan.
Seorang pengguna Twitter, @aisyiskxndar_ memberi reaksi kenapa PKPB dilaksanakan semula selama empat minggu.
“PKPB disambung selama empat minggu? Selamat tinggal semua perancangan pada tahun 2020. Insha-Allah jumpa anda semua pada tahun 2021,” ciapnya di sini tadi.
Bagi @iyaliasyazwanie pula menyifatkan bahawa segala bentuk bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional dan sumbangan orang ramai dilihat sebagai tidak mencukupi ketika PKPB.
“Buat masa ini, semua menteri perlu bertanggungjawab untuk tindakan mereka sebelum ini dan perlu memotong gaji mereka kerana rakyat yang terkesan akibat pelaksanaan PKPB.
“Saya berasa kesian untuk mereka yang merancang melaksanakan majlis perkahwinan pada bulan ini dan berikutnya selain perniagaan yang terjejas dengan PKPB,” jelasnya. -K! ONLINE