PETALING JAYA – Tindakan bekas sukarelawan polis menggunakan pakaian seragam itu bagi merakamkan video menerusi aplikasi Tik Tok membawa padah selepas dia diberkas dalam satu serbuan di Jalan Medan Niaga, Kuala Selangor kelmarin.
Tangkapan ke atas suspek berusia 41 tahun itu dibuat selepas pihak polis menerima laporan di Balai Polis Subang Jaya berhubung tindakan suspek yang suka memuat naik video di Tik Tok dengan mengenakan seragam polis.
Satu sumber berkata, bertindak atas maklumat pihak polis menahan suspek di sebuah restoran makanan pada pukul 1 tengah hari.
Katanya, berpandukan maklumat daripada suspek pihak polis menyerbu rumahnya di Taman Kuala Selangor sebelum menemui dua pakaian seragam polis yang lengkap dengan aksesori termasuk tanda nama, topi dan lain-lain.
“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan bekas sukarelawan polis pada tahun 2014 dan tidak memulangkan seragam itu selepas khidmatnya tidak diperlukan.
“Hasil soal siasat suspek mengaku mahu meniru gaya pelakon Rajnikanth menerusi filem Darbar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 30 saat menunjukkan seorang lelaki berjambang memakai seragam polis meniru aksi Rajnikanth dimuat naik menerusi Tik Tok. – K! ONLINE