fbpx

MOM amat hargai komitmen kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA menghargai komitmen kerajaan dalam membantu perkembangan sukan negara menerusi pengumuman peruntukan sebanyak RM55 juta dalam Belanjawan 2021 di Parlimen semalam.

MAJLIS Olimpik Negara (MOM) menyuarakan penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan berhubung pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zaf­rul Aziz di Parlimen semalam.

Presidennya, Tan Sri Moha­mad Norza Zakaria berkata, meskipun memiliki keutamaan lebih penting bagi menangani pandemik Covid-19, namun kerajaan masih komited dalam membantu perkembangan sukan negara.

“Saya berpendapat, kerajaan berdepan keutamaan yang lebih penting terutamanya dalam menangani Covid-19, namun kerajaan masih lagi tidak meminggirkan sukan.

“Kita semua tahu ekonomi menyusut dan pastinya peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkurangan berbanding sebelum ini, namun kita perlu terima kerana fokus utama adalah untuk tangani Covid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, penambahan peruntukan RM55 juta untuk program pembangunan sukan berprestasi tinggi termasuk hoki, ragbi, badminton, berbasikal serta pembangunan atlet wanita membuktikan kerajaan serius memperkasakan program akar umbi.

Tambah Norza, peruntukan tersebut adalah penambahan kepada program-program sedia ada, sekali gus boleh memastikan persediaan serta daya saing atlet tidak terjejas.

“Saya alu-alukan peruntukan RM55 juta ini dalam mewujudkan program pembangunan sukan prestasi tinggi. Kerajaan menerusi KBS telah menambah beberapa sukan dalam peruntukan kali ini.

“RM55 juta ini adalah penambahan peruntukan kepada program-program pembangunan sedia ada seperti Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), cuma kali ini ia dikembangkan kepada hoki, ragbi, badminton dan berbasikal,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih atas keprihatinan kerajaan memperuntukkan RM20 juta sebagai pinjaman mudah di bawah Skim TEKUN Sukan bagi memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan.

Pada masa sama, kerajaan juga akan menyediakan RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan seluruh negara bagi meneruskan kesinambungan sukan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI