Oleh SAFINA RAMLI
GEORGE TOWN – Medan Selera Tanjung Bungah yang terletak di Jalan Sungai Kerian, Tanjung Bungah di sini hampir musnah dalam kebakaran hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran berkenaan.
Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Mohd. Rizuan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.19 pagi.
“Kejadian melibatkan kedai makanan jenis terbuka kelas B dengan keluasan keseluruhan 5,000 kaki persegi.
“Ketika tiba di lokasi, kita mendapati kebakaran melibatkan kedai makanan jenis terbuka iaitu medan selera,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, anggaran peratusan kemusnahan adalah 70 peratus dan api berjaya dikawal pada pukul 10.50 pagi.
“Kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa. Jumlah kerugian masih belum diperolehi dan punca kebakaran sedang disiasat.
“Kerja pemadaman masih dijalankan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Bayan Baru,” katanya. – K! ONLINE