BATU PAHAT – Mayat seorang wanita dipercayai menjadi mangsa bunuh ditemui dalam semak di jalan mati antara Taman Seri Aman dan Taman Selatan, Yong Peng di sini tadi.
Mayat wanita berusia 40-an itu ditemui kira-kira pukul 8 pagi oleh penduduk kampung yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, sejurus pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sepasukan polis dihantar ke lokasi kejadian.
“Sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian bersama Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan K9 daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor untuk membantu siasatan.
“Kes mempunyai unsur-unsur jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Terdahulu, sejak semalam tular di media sosial seorang wanita dilaporkan hilang bersama motosikal jenis Yamaha Ego miliknya selepas selesai pulang berniaga tauhu bakar kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin di Yong Peng.