“DIAM tak diam sudah lima tahun saya hidap penyakit kencing manis, rasa macam baru semalam kena.
“Lima tahun jugalah saya siang malam bertemankan insulin yang tak pernah ditinggalkan walaupun ke mana-mana sahaja”.
Itu luahan rakan karib penulis yang merupakan seorang daripada kira-kira 3.6 juta penghidap penyakit diabetes atau kencing manis di negara ini.
Gadis yang mesra dipanggil Qiqi dalam kalangan keluarga dan-rakan sekampung di Layang-Layang, Kluang, Johor itu disahkan doktor menghidap kencing manis sejak berusia 25 tahun.
Kini usia Qiqi sudah menginjak 30 tahun pada 30 Oktober lalu.
Jelas rakan karib yang sudah penulis anggap seperti adik-beradik dan saudara sendiri, ada masa dan ketikanya dia cukup letih serta penat bergelar pesakit kencing manis.
“Manakan tidak, ubat nak kena makan ikut masa. Gula tak boleh tinggal. Lambat sikit makan pasti terasa diri bagaikan nak pitam menyembah bumi.
“Insulin pun hari-hari kena cucuk. Kadangkala sudah rasa macam doktor pula,” ujarnya sambil ketawa.
Dia sedar segala yang berlaku berpunca daripada faktor pemakanan serta gaya hidup tidak sihat ketika remaja.
Tutup cerita mengenai Qiqi. Penulis yakin pasti kita pernah mengambil tahu mengenai sambutan Bulan Kesedaran Diabetes Negara yang disambut sepanjang bulan November, manakala tarikh 14 hari bulan pula sebagai Hari Diabetes Sedunia.
Hari itu dipilih sebagai penghormatan kepada Mendiang Dr. Frederick Banting, penemu insulin pertama pada tahun 1921.
Hari Diabetes Sedunia diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa pada 1991 sekali gus mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengeluarkan resolusinya pada tahun 2006.
Memetik kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sejumlah tujuh juta orang dewasa, sama ada didiagnos atau tidak dianggarkan akan terjejas akibat diabetes di Malaysia menjelang 2025 kelak.
“Ini merupakan suatu trend membimbangkan yang akan menyaksikan kelaziman diabetes iaitu 31.3 peratus dalam kalangan orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas,” ujarnya.
Menyingkap kembali Belanjawan 2020 yang dibentangkan 11 Oktober tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM30.6 bilion kepada sektor kesihatan bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua.
Ia menyaksikan sektor kesihatan jatuh satu anak tangga iaitu sektor ketiga tertinggi menerima peruntukan bagi 2020 berbanding 2019 yang memperuntukkan RM28.7 bilion.
Dalam Belanjawan 2021, tumpuan diberikan terhadap usaha memerangi Covid-19. Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan Covid-19.
Pada masa sama, subsektor kesihatan kekal sebagai subsektor utama dengan peruntukan RM4.7 bilion (6.8 peratus daripada jumlah perbelanjaan pembangunan) dengan fokus perbelanjaan menambah baik sektor kesihatan dan menyediakan sistem penjagaan kesihatan negara yang efektif.