Oleh YATIMIN ABDULLAH
PENGENDALI Kelatan United, Nazrulerwan Makmor dijangka mempertaruhkan taktik menyerang untuk meraih keputusan positif apabila berkunjung menentang Perak pada saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh malam ini.
Nazrulerwan bagaimanapun mengingatkan para pemain Kelantan United supaya tidak terlalu ghairah sehingga melakukan kesilapan kecil yang boleh menghukum pasukan secara keseluruhan nanti.
Disebabkan itu menurutnya, beliau selesa barisan pemain beraksi sebagai satu unit sepanjang perlawanan tersebut termasuklah dari aspek menyerang dan bertahan.
“Bertemu dengan pasukan yang lengkap di semua posisi bukanlah satu tugas mudah buat kami.
“Perak pernah menjadi juara bagi musim 2018 dan pasukan tersebut pastinya turun dengan misi untuk meraih kemenangan. Begitu juga dengan kami,” katanya semalam.
Nazrulerwan menambah, beliau juga mahu barisan pemain Kelantan United kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan keluar sebagai pemenang dalam aksi itu nanti.
Katanya, status sebagai pasukan underdog memberikan semangat lebih kepada Kelantan United untuk melakar kejutan.
“Sungguhpun begitu, kami perlu waspada dengan kekuatan pasukan lawan. Saya kerap kali mengingatkan kepada semua pemain pada sesi latihan, kita ke Perak bukan untuk bermain bertahan.
“Jika bertahan sekali pun, kita akan bertahan sebagai satu pasukan dan menyerang juga sebagai satu pasukan,” ujarnya.