JASIN – Perjalanan seorang anak untuk menghantar ibunya ke pusat rawatan dialisis di Merlimau berakhir tragedi apabila warga emas itu maut dalam kemalangan di lampu isyarat Lebuh Ayer Keroh – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, mangsa, Jamilah Jeni, 62, yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, manakala anaknya yang memandu tidak mengalami kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan berlaku ketika dua beranak itu yang menaiki kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan dari arah Semujuk menghala ke arah Merlimau.
“Setiba di persimpangan lampu isyarat, kereta dipandu anak mangsa telah bertembung dengan sebuah lori membawa muatan bongkah konkrit longkang dari arah Muar ke Melaka.
“Akibat kemalangan itu, ibu mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat, pemandu tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menghantar ibunya ke pusat dialisis di Taman Debunga, Merlimau bagi mendapatkan rawatan rutin sejak 10 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, pemandu lori berusia 35 tahun itu turut mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE