SEPANG – Seramai empat ahli jemaah tabligh rakyat Malaysia yang selesai menjalani proses perbicaraan di Buxar, India telah selamat tiba di tanah air, semalam.
Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.33 petang dengan menaiki penerbangan Air India Express dari New Delhi, India.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, dengan kepulangan empat ahli jemaah jabligh ini, masih terdapat seramai sembilan orang lagi jemaah rakyat Malaysia yang sedang menjalani prosedur perundangan di Bihar, India.
Katanya, sehingga kini, kementerian telah berjaya membawa pulang seramai 180 daripada 189 orang ahli jemaah tabligh yang berada di India.
“Sebelum ini, seramai 176 ahli jemaah tabligh telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 September, 9, 14, 23 dan 30 Oktober lalu.
“Selaras dengan peraturan semasa yang berkuatkuasa, kesemua mereka yang dibawa pulang ke tanah air diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kementerian menerusi Perwakilan Malaysia di New Delhi, India akan terus memantau perkembangan kes ini secara rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelaras usaha membawa pulang baki sembilan ahli jemaah tabligh tersebut sejurus selepas pembebasan mereka kelak. – K! ONLINE