SELEPAS sah bercerai di sebuah mahkamah syariah, Rose dan Ahmad (bukan nama sebenar) membuat haluan hidup masing-masing.
Sepanjang melayari bahtera rumah tangga selama sedekad, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Amin dan Amira. Semasa perceraian, Amin berusia tujuh tahun manakala Amira berusia empat tahun
Mahkamah syariah telah menetapkan hak penjagaan (hadanah) Amin kepada Ahmad manakala Amira kepada Rose dengan setiap pasangan itu turut dibenarkan melawat anak-anak itu.
Antara alasan yang diberikan oleh pihak mahkamah ketika itu adalah Amira masih belum mencapai usia lima tahun dan masih bergantung hidup kepada Rose.
Sementara Amin pula sudah melebihi usia lima tahun dan memerlukan bimbingan seorang lelaki untuk mendidiknya dalam hal kehidupan.
Rose yang ketika itu tidak bekerja akur dengan keputusan tersebut meskipun tidak sanggup melihat dua beradik itu dipisahkan.
“Kalau boleh saya hendak jaga kedua-duanya. Namun, disebabkan saya juga tidak bekerja dan kurang berkemampuan, maka mahkamah hanya bagi hak jagaan Amira kepada saya.
“Saya hendak jaga Amin kerana bimbang dia akan diapa-apakan oleh Ahmad yang terkenal dengan panas barannya. Disebabkan sikap panas baran dan kaki pukul suami jugalah kami bercerai,” katanya kepada K2.
Rose kemudian menetap di Lembah Klang manakala bekas suaminya di Perak.
Selepas lebih setahun bercerai, Rose yang sudah mendapat kerja terus memendam kerinduan terhadap anak lelakinya itu. Namun dia langsung tidak diberi ruang dan kesempatan oleh Ahmad untuk bertemu Amin walaupun sebentar. Jangankan bersua muka, mendengar suara juga tidak
kesampaian kerana bekas suami tidak pernah mengangkat telefon apabila Rose cuba menghubunginya untuk bercakap dengan Amin.
Sikap Ahmad yang kejam itu seperti ingin memisahkan hubungan seorang ibu dan anak. Malah, Ahmad tidak pernah memberi nafkah atau mengambil peduli terhadap Amira.
Memburukkan lagi keadaan, Rose telah mendapat khabar bahawa Ahmad telah berkahwin lain dengan seorang janda beranak lima.
“Selepas tahu bekas suami berkahwin lain, saya mula bimbang sekiranya Amin terabai atau didera oleh ibu tirinya.
“Saya benar-benar menderita kerana rindukan anak sulung saya itu. Selepas kira-kira setahun tidak bertemu, saya memberanikan diri untuk pergi ke rumah bekas suami di Perak. Pada masa itu kira-kira seminggu selepas umat Islam menyambut ketibaan Syawal dan hati saya meronta-ronta untuk bertemu anak saya itu.
“Saya memanggil dari luar pagar rumah mereka. Saya nampak kereta bekas suami dan saya yakin mereka sekeluarga ada di dalam rumah. Saya menangis dan merayu-rayu di luar pagar namun langsung tidak diendahkan. Saya terpaksa pulang hampa,” ujarnya.
Disebabkan kerinduan terhadap anaknya tidak tertanggung lagi, enam bulan kemudian Rose tidak ada pilihan lain kecuali meminta kebenaran pihak pengurusan sekolah untuk bertemu anaknya sebentar sewaktu di sekolah.
Seorang guru yang bersimpati dengan nasib Rose akhirnya memberi ruang kepada Rose bertemu sekali sahaja dengan Amin dalam pertemuan cukup singkat semasa waktu rehat.
“Apabila bertemu Amin, kami berdakapan dengan deraian air mata sehingga semua orang di sekolah memandang. Amin memberitahu ibu tirinya selalu marah-marah. Dia juga beritahu sudah tidak tahan tinggal dengan Ahmad dan keluarga baharunya itu.
“Saya berasa sangat sedih apabila mendengar cerita Amin. Saya bertekad untuk menuntut hak penjagaan Amin daripada Ahmad,” ujarnya.
Rentetan itu, Rose telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah syariah untuk menuntut hak penjagaan Amin.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana pihak mahkamah syariah memerlukan bukti kukuh menunjukkan Ahmad gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Malangnya, Rose tidak dapat mengemukakan bukti diperlukan dan gagal dalam percubaan tersebut.
“Namun saya tidak mudah putus asa. Saya tetap ingin mendapatkan hak jagaan Amin. Saya sangat rindukannya dan bimbang dengan keselamatannya,” katanya.
Satu sahaja cara yang membolehkan Rose meraih hak jagaan adalah dengan menunggu Amin mencapai usia mumayyiz seperti yang ditetapkan mahkamah syariah untuk anak itu sendiri menyatakan pilihannya mahu bersama siapa. Umur mumayyiz adalah usia seseorang kanak-kanak sudah dapat menyelesaikan urusannya tanpa memerlukan bantuan orang lain.
“Dalam kes tuntutan saya, umur mumayyiz Amin ditetapkan pada usia 10 tahun. Jadi, saya tunggu kira-kira dua tahun lagi sehingga Amin mencapai usia itu.
“Sebaik sahaja cukup umur, saya terus meminta mahkamah syariah memanggil Ahmad dan Amin untuk mendengar pendirian anak saya di depan hakim. Apabila diminta membuat pilihan di mahkamah, Amin memilih tinggal bersama saya. Dalam keterangannya kepada hakim syarie, Amin berkata dia tidak gembira tinggal bersama bapa dan memilih untuk bersama saya,” ujarnya.
Rose amat bersyukur kerana berjaya mendapat hak penjagaan kedua-dua anaknya dan berhasrat membesarkan mereka meskipun secara bersendirian.
“Saya tiada masalah membesarkan dan memberi kasih sayang secukupnya kepada kedua-dua mereka. Saya harap kisah ini menjadi pedoman buat mereka di luar sana,” tuturnya.