fbpx

Anya permata baharu Hollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANYA TAYLOR-JOY

DRAMA rantaian The Queen’s Gambit kini hangat menjadi perbualan ramai. Pelakon wanita yang memainkan peranan Beth Harmon, Anya Taylor-Joy pula mendapat pujian melambung seluruh pelosok dunia.

Bukan hanya disebabkan kualiti yang dicernakan melalui karakter Beth, bahkan keseluruhan prestasi karya tersebut dianggap memberi lembaran baharu terhadap cabang siri televisyen mahupun sinema global.

Siapa sangka, sebuah karya yang berpusatkan tentang permainan catur boleh menjadi sangat menarik sehingga disifatkan sebagai antara drama terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang 2020.

Rotten Tomatoes memberikan markah penuh 100 peratus untuk karya arahan sutradara, Scott Frank tersebut. IMDb melonjakkan markah reviu setinggi 8.9/10 sementelah 98 daripada 100 peratus pengguna Google menyukai drama tersebut. Itu satu pencapaian yang amat luar biasa.

MENJAYAKAN watak Beth Harmon, seorang pemain catur handalan yang berpegang teguh terhadap fahaman feminisme, berpenampilan menarik namun dihantui pengalaman hitam. Anya mendedahkan, dia pada mulanya langsung tidak tahu bermain catur.

The Queen’s Gambit bercerita tentang perjalanan seorang wanita muda, Beth Harmon mengejar gelaran juara catur dunia, sementelah dihantui sejarah tragik masa silamnya termasuk masalah ketagihan.

Bercakap kepada The Hollywood Reporter, Anya atau nama lengkapnya, Anya Josephine Marie Taylor-Joy memaklumkan, tiada skrip apabila pengarah, Frank menawarkan watak tersebut kepadanya.

Bagaimanapun, tanpa berfikir panjang, dia terus bersetuju untuk menjayakan watak Beth Harmon.

“Saya pantas jatuh cinta dengan watak Beth. Tiada skrip apabila Frank mahu bercakap dengan saya tentang karakter tersebut. Saya juga terus cium dan menghidu bau buku tulisan Walter Tevis (karya asal The Queen’s Gambit sebelum diadaptasi) selama lebih sejam.

“Saya juga bukan seorang pelari namun saya berlari untuk perjumpaan pertama projek ini. Saya berasa sangat teruja dengan Beth dan betapa terujanya saya untuk menceritakan kisahnya kepada orang ramai.

“Satu perkara yang sangat penting adalah saya percaya saya boleh memberi ketepatan untuk membawakan watak Beth dan terlibat dalam drama ini,” kata Anya yang memiliki tiga taraf kewarganegaraan iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Argentina.

WATAK sebagai Beth Harmon dalam The Queen’s Gambit telah banyak membuka ruang dan peluang untuk Anya terus berkecimpung dalam dunia lakonan sehingga dicanang sebagai Hollywood’s Next Big Thing oleh media antarabangsa.

Tidak tahu main catur

Melakonkan watak sebagai Beth, Anya bertanggungjawab untuk membuat penonton percaya bahawa dirinya seorang pemain catur handalan.

Ironi, dia tidak tahu bermain catur, namun disebabkan kepercayaan yang diberikan pengarah, dia harus belajar bermain catur dengan seyakin-yakinnya.

“Kosong. Memang tidak tahu langsung pasal catur. Saya tahu ada buah catur dan papannya. Tetapi itu sebenarnya apa yang menarik tentang perjalanan projek ini.

“Saya dijemput ke sebuah dunia yang penuh rahsia dan itu sangat menarik dan mengujakan,” katanya.

Ujar Anya, antara babak yang paling mengujakan ialah ketika penggambaran babak bermain catur dengan laju (speed chess) secara serentak.

“Saya suka diberikan tekanan untuk melakonkan babak tersebut. Saya dilatih bermain sepantas yang boleh dengan tiga papan catur dan tiga pemain lain secara serentak.

“Apabila fikir balik, itu adalah antara momen paling membanggakan kerana saya berjaya melakukan sesuatu yang pada mulanya saya tidak fikir boleh lakukan.

“Saya berjaya kerana saya ‘memperdaya’ cara saya berfikir dan membuat diri percaya yang saya sebenarnya seorang pemain catur yang sangat handal,” kata Anya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah filem baharu berjudul The Northman.

MEMILIH untuk tidak gemar bercerita tentang kehidupan peribadi, bagaimanapun ramai juga yang tahu bahawa Anya kini berpacaran dengan seorang jurugambar profesional bernama Ben Seed.

Lambat berbahasa Inggeris

Seperkara tentang Anya yang ramai tidak tahu, kehidupan wanita itu sentiasa berpindah-randah sejak kecil.

Sehingga kini, dia masih tidak mempunyai kediaman tetap terutama apabila kehidupannya sebagai aktres mula menyinar.

“Saya tidak ada rumah sendiri. Agak mengelirukan kerana saya lahir di Amerika Syarikat dan kemudian pindah ke Argentina dan kemudian pindah ke London. Saya tiada rumah sendiri tetapi saya sedang bekerja untuk ke arah itu,” katanya.

Cerita Anya, dia belajar bahasa Inggeris agak lambat iaitu ketika berusia lapan tahun kerana sebelum itu dia tinggal di Argentina bersama keluarga.

“Saya tinggal di Argentina sehingga berusia enam tahun. Saya belajar bahasa Inggeris agak lewat iaitu pada usia lapan tahun. Saya ingin mempunyai ramai kawan ketika kecil jadi saya belajar bahasa Inggeris dengan cepat,” tuturnya dalam satu rancangan bual bicara, Live Kelly & Ryan awal Februari lalu.

Anya memulakan langkah sebagai seorang model pada usia 16 tahun. Pada waktu tersebut, dia hanya berjalan di luar gedung serbaneka, Harrods di London sebelum didekati seorang wakil pengurusan, Sarah Doukas of Storm.

“Saya bermula sebagai seorang model secara tidak sengaja sebelum membina nama sebagai seorang pelakon,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

KATA Anya. dia berjaya menjadi Beth kerana berupaya ‘memperdaya’ cara berfikir dan membuat diri percaya bahawa dia sebenarnya seorang pemain catur yang sangat handal.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI