PUTRAJAYA – Pengawalan dan pengenaan cukai terhadap rokok elektronik sukar dilaksanakan selagi Akta Kawalan Tembakau tidak dikuatkuasakan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada masa ini, akta tersebut sedang dalam semakan pihak Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan ia dikuatkuasakan mengikut undang-undang.
“Tanpa akta ini cecair rokok elektronik lain yang mempunyai nikotin sukar dikawal dan pengenaan cukai sukar dilaksanakan.
“Apa yang penting adalah untuk kita (Kementerian Kesihatan) melihat akta ini dan buat masa ini, kawalan hanya pada nikotin dan bagaimana nak lakukan pencukaian, ia akan diperhalusi.
“KKM perlu melakukan penelitian lanjut sebelum kita melaksanakan iaitu melihat kepada sebarang pertindihan ataupun bertentangan dengan sebarang akta di bawah Akta Racun 1952,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – K! ONLINE