BARCELONA – Pengendali Barcelona, Ronald Koeman memuji ketangkasan penjaga golnya, Marc-Andre Ter Stegen atas peranan cemerlangnya membantu pasukan itu meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Dynamo Kyiv sekali gus bertekad untuk memperbaiki persembahan mereka.
Skuad The Catalan itu kini meraih tiga kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara aksi Kumpulan G selepas Lionel Messi meledak gol penalti pada minit kelima sebelum Gerard Pique menyumbat gol pada separuh masa kedua.
Pada saingan itu, Ter Stegen menyelamatkan enam percubaan berbahaya Dynamo Kyiv termasuk percubaan tepat daripada Vitaliy Buyalskiy sebelum Viktor Tsygankov berjaya meraih gol pada minit ke-75.
“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada Ter Stegen dan terbukti dia seorang penjaga gol yang hebat buat kami. Dia berlatih dengan baik dan kita boleh lihat hasilnya pada hari ini.
“Saya akui ia bukan perlawanan yang mudah dan kami sukar memburu gol kedua selepas pemain mula hilang penguasaan perlawanan. Terima kasih kepada Marc yang mempamerkan aksi luar biasa, kami berjaya mengelak percubaan lawan,” katanya.
Hasil kemenangan tersebut, Barca mengutip sembilan mata dan kelebihan tiga mata di depan Juventus sementara berkelebihan lapan mata ke atas Ferencvaros dan Dynamo Kyiv dengan aksi timbal balik akan bersambung tiga minggu lagi.
Justeru, Koeman menuntut anak-anak buahnya perbaiki masalah agar peluang mereka untuk melangkah ke pusingan seterusnya lebih cerah.
“Saya harap pemain harus perbaiki segala kelemahan. Hari ini apa yang saya lihat kami tidak melakukannya dengan baik. Pasukan lawan mengatur permainan dengan baik dan memberi tekanan di bahagian pertahanan,” ujarnya. – AGENSI