IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Hari Keputeraan baginda di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.
Pelaksanaan majlis yang mengikut norma baharu itu hanya dihadiri kira-kira 300 orang mengikut kapasiti ruang solat di tingkat atas masjid tersebut.
Selain itu hadirin juga perlu mengimbas kod QR serta diambil bacaan suhu badan seperti ditetapkan.
Turut berangkat Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Majlis bacaan Yasin bermula kira-kira pukul 12 tengah hari itu dipimpin oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.
Majlis diikuti dengan solat Jumaat didahului dengan khutbah khas sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak yang bertajuk Mentaati Raja Tonggak Kesejahteraan Negara.
Kira-kira 300 orang menghadiri majlis berkenaan yang merupakan acara tahunan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak yang diputuskan pada Jumaat pertama dalam bulan November.
Majlis sama turut diadakan serentak di masjid-masjid seluruh negeri. – K! ONLINE