LONDON – Agensi Anti-doping Dunia (WADA) diarahkan untuk meminta maaf dan membayar ganti rugi kepada Mamadou Sakho selepas pemain Crystal Palace itu menang kes fitnah terhadapnya.
Pemain Perancis itu menyaman WADA £13 juta (RM70 juta) serta menuntut permohonan maaf selepas dituduh menggunakan bahan terlarang pada 2016 sehingga disingkirkan oleh bekas pasukannya, Liverpool.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada masa itu mengecam tindakan WADA memandangkan bahan yang digunakan Sakho, Higenamine tidak berada dalam senarai bahan terlarang.
Khamis lalu, peguam yang mewakili WADA menyatakan permohonan maaf serta mengakui organisasi itu sedia membayar ganti rugi kepada pemain Palace tersebut.
“WADA memohon maaf atas tuduhan memfitnah dan kami mengakui WADA tidak sepatutnya melakukan tuduhan berkenaan selepas Sakho ditamatkan penggantungan oleh UEFA.
“Kami kesal kerana tuduhan berkenaan menyebabkan reputasi Sakho terjejas selain menyebabkan dia menanggung malu selama ini. WADA sedia untuk bayar ganti rugi serta menanggung kos guaman Sakho,” ujarnya.
Sebelum ini, Sakho dan peguamnya menegaskan tuduhan tersebut menyebabkan pendapatan dan reputasinya sebagai pemain terjejas teruk selepas berhijrah dari Liverpool. – AGENSI