AMPANG – Penahanan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Terminal Bersepadu Selatan pada Ahad lepas berjaya membongkar kisah malangnya di rogol bapa sendiri sejak Februari lalu di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa dekat sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Farouk Eshak berkata, remaja berkenaan ditahan kerana tidak mempunyai permit untuk merentas negeri ketika Lembah Klang masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut beliau, soal-siasat ke atas remaja perempuan terbabit mendapati, ketika kejadian dia ingin pulang ke kampung ibunya di Kuala Nerang, Kedah kerana tidak tahan dengan perbuatan bapa kandungnya yang merogol mangsa hampir setiap minggu sejak Februari lalu.
“Mangsa telah lari dari rumah ayah kandungnya di Bukit Antarabangsa dan ingin pulang ke kampung ibunya di Kedah. Ibu dan bapa mangsa telah bercerai sejak tahun 2004.
“Sebelum ini mangsa telah tinggal dengan ibunya di Kuala Nerang, bagaimanapun sejak September 2019, bapanya telah mendapat hak penjagaan ke atas mangsa dan telah membawa remaja perempuan itu tinggal bersamanya,”katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Mohd Farouk, semasa dibawa ke Bukit Antarabangsa dia telah tinggal bersama ibu tirinya dan empat adik beradik tiri berusia dua hingga 10 tahun.
“Perbuatan terkutuk suspek tidak diketahui oleh ahli keluarga yang lain kerana suspek akan merogol mangsa di awal pagi ketika semua ahli keluarga sedang tidur.
“Siasatan lanjut ke atas mangsa juga mendapati dia pernah bertindak cuba membunuh diri dengan meminum cecair pencuci lantai pada Jun 2020, akibat tertekan dengan perbuatan suspek, namun tiada laporan polis diterima,”jelasnya.
Susulan daripada kejadian ini, Mohd. Farouk berkata, pihaknya telah menahan bapa mangsa berusia 42 tahun di kediamannya di Bukit Antarabangsa kira-kira pukul 6.30 petang pada Isnin lalu.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai satu kes lampau berkaitan rogol yang disiasat mengikut Seksyen 379B Kanun Keseksaan (sumbang mahram) pada 2004 iaitu disyaki merogol adik iparnya, namun suspek bebas.
“Ujian air kencing ke atas suspek bagaimanapun negatif dan kita sedang memohon reman lanjutan ke atas suspek kerana remannya berakhir hari ini,”jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan rogol secara sumbang mahram. – K! ONLINE