fbpx

Polis cari dua individu dera wanita yang tular dalam Facebook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar dari rakaman video menunjukkan seorang wanita didera yang tular di media sosial.

LUMUT – Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua individu yang melakukan penderaan terhadap seorang wanita selepas rakaman video kejadian itu tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Dalam video berdurasi dua minit dan enam saat itu, kelihatan seorang wanita dipukul di bahagian badan, mukanya ditampar manakala tapak kakinya dicucuh dengan colok.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal mengesyaki kejadian itu berlaku di dalam sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan dekat sini.

“Berikutan daripada insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki orang awam di Kuantan, Pahang.

“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, polis sedang mengesan dua individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata, individu itu ialah seorang lelaki, Lau Kah Wai, 22, yang beralamat di Simpang Empat Jalan Bagan Datuk, Taman Melintang Ria, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.

Katanya, seorang lagi ialah wanita bernama Cheah Zi Ying, 19, beralamat di Sungai Garden, Jalan Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.

Nor Omar meminta kedua-dua mereka tampil ke IPD Manjung atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kedua-dua individu itu diminta menghubungi Inspektor Muhammad Sollehuddin Rahmat di talian 013-7908995.

Menurutnya, polis sudah pergi ke rumah yang dikatakan berlaku kejadian itu tetapi tidak berpenghuni dan berdasarkan keterangan jiran mendapati kedua-dua individu tinggal di rumah tersebut tetapi sudah tidak kembali ke situ sejak beberapa hari lalu.

Katanya, sehingga kini polis masih menyiasat punca kejadian, identiti mangsa serta hubungan antara ketiga-tiga mereka. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI