fbpx

Penduduk sengsara tiada bekalan air dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penduduk membuat bantahan untuk mendapatkan bekalan air yang mencukupi di Taman Telok Mesira, Kota Bharu selepas air di kawasan mereka terputus sejak dua bulan lalu. FOTO: ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Kehidupan penduduk di Taman Telok Mesira di sini bagaikan serba tidak kena apabila bekalan air di rumah mereka terputus sejak dua bulan lalu.

Meskipun Air Kelantan Sdn.Bhd. (AKSB) ada menghantar bekalan air dua hari sekali kepada kira-kira 500 penduduk di kawasan itu, namun ia tidak mencukupi untuk keperluan harian mereka.

Keadaan itu menyebabkan penduduk mengalami kesulitan terutamanya mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Seorang penduduk, Hanim Jaafar, 63, berkata, masalah air di kawasan itu bagaikan tiada penghujung sehingga ia memudaratkan penduduk setempat yang memerlukan bekalan air.

“Masalah ini semakin kritikal sejak dua bulan lalu. Saya sudah tidak larat untuk memunggah air setiap hari ditambah pula perlu menjaga suami yang menghidap angin ahmar sejak 10 tahun lalu.

“Saya sudah penat dengan keadaan ini sehingga terpaksa mengeluarkan wang Bantuan Prihatin (BPN) yang diterima sebelum ini termasuk simpanan sebanyak RM2,000 untuk membina telaga tiub bagi kemudahan keluarga dan jiran terdekat yang memerlukan bekalan air,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang warga emas, Loo Lian Chin, 60, yang juga menghidap darah tinggi merasa amat terbeban apabila selalu memikirkan masalah air di kawasan rumahnya.

Katanya, dia yang tinggal di taman itu sejak 16 tahun lalu tidak mampu untuk memunggah air dari tangki besar yang terletak hanya beberapa meter dari rumahnya.

“Saya berharap sangat AKSB agar menyediakan jadual penghantaran air secara berkala sekurang-kurangnya setiap hari.

“Apabila AKSB menghantar bekalan air pada waktu malam, saya akan tunggu sehingga ke pagi semata-mata untuk memenuhkan tong, besen dan baldi untuk kegunaan kami sekeluarga,” katanya.

Wakil penduduk , Zakaria Yusoff, 63, berkata, jadual penghantaran air oleh AKSB dua hari sekali tidak cukup untuk keperluan penduduk hampir 500 orang.

“Tangki besar ada disediakan, namun air tiada. Ini amat menyusahkan penduduk untuk mandi, mencuci pakaian dan memasak.

“Saya sudah banyak mengeluarkan wang kerana terpaksa mencuci pakaian anak-anak di dobi. Tidak cukup dengan itu, air minuman kami sekeluarga juga perlu dibeli setiap hari,” katanya.

Menurut Zakaria, anak-anaknya juga sering ke sekolah dengan keadaan tidak mandi ekoran masalah itu.

Sementara itu, Ketua Operasi AKSB, Wan Khairuddin Wan Omar ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihaknya akan mengambil perhatian segera mengenai isu air di Taman Telok Mesira.

Katanya, AKSB akan memastikan semua tangki-tangki air statik dipenuhi setiap masa mengikut keperluan penduduk.

“Saya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan kita akan berusaha mempercepatkan pembinaan mini loji di taman itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI