KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul
Tengku Abdul Aziz disifatkan sebagai cerminan tepat terhadap keperluan langkah mitigasi bagi menguruskan kesan berterusan wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, apa yang penting
mengenai Belanjawan kali ini ialah ia lebih berfokus dan bersasar.
“Seruan agar institusi kewangan, khususnya bank memberi perhatian dan bantuan kepada peminjam
B40 serta perusahaan mikro menerusi lanjutan tempoh pembayaran adalah perlu serta tepat.
“Sehingga kini, AmBank telah meluluskan hampir 100 peratus permohonan bantuan pembayaran
balik pinjaman, berjumlah lebih daripada RM11 bilion untuk individu dan pelanggan perusahaan
kecil dan sederhana (PKS),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Tambah Sulaiman, fleksibiliti untuk mengeluarkan RM500 setiap bulan selama setahun daripada
Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membolehkan mereka yang berdepan
masa sukar mendapat akses kepada dana.
“Ini hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan, sehubungan itu, kita perlu mengimbangi
keperluan semasa yang mendesak dan kestabilan kewangan masa depan,” ujarnya.