BAKAT wanita cantik itu pernah dipuji penyanyi legenda antarabangsa, Michael Bolton. Kata pemenang Anugerah Grammy berusia 67 itu, vokal pemilik nama pentas Poovaa, ibarat emas yang berkilauan.
Pujian tersebut diterima Poovaa ketika menyertai sebuah program realiti, Asian Dream pada tahun lalu.
Kekuatan vokal yang dimiliki wanita itu dalam bidang muzik melayakkan dirinya mendapat pujian yang mungkin turut diidamkan segelintir penyanyi lain.
Untuk peminat muzik tempatan, nama Poovaa mungkin kedengaran agak asing, apatah lagi untuk mendengar alunan suaranya menyanyi dari corong-corong radio.
Hakikatnya, Poovaa bukanlah seorang pendatang baharu dalam industri hiburan tanah air. Dia telah berkecimpung dalam bidang seni suara sejak 10 tahun lalu.
Setelah sekian lama menghilang, pemenang kategori Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014, Poovaa kini tampil dengan single terbaharu berjudul Karya.
Menurut Poovaa, selepas sedekad bergelar penyanyi, dia ingin mencuba nasib dengan menghasilkan single bahasa Melayu pertama bagi menembusi pasaran muzik tempatan.
“Setelah hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara, saya akhirnya memberanikan diri untuk menghasilkan single bahasa Melayu pertama.
“Karya merupakan percaturan saya dalam mengembangkan bakat sedia ada,” kata pemilik nama penuh Poovanesvary Sri Rama itu.
Ujarnya lagi, Karya yang dicipta dan digubah oleh komposer Omar K, Shazee Ishak dan Firdaus Ishak itu bercerita tentang cinta yang bermula dengan cerita indah, namun berakhir dengan kesedihan.
“Setiap daripada kita ingin mengecapi kebahagiaan tetapi banyak permasalahan yang berlaku, kedukaan berpanjangan tanpa persefahaman akhirnya menjurus ke arah perpisahan.
Peluang
“Bagaimanapun, setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Sebagai manusia, kita harus kuat untuk meneruskan kehidupan dan hari-hari mendatang.
“Semoga kekecewaan hari ini menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan tanpa menoleh kebelakang lagi,” katanya.
Pemenang VIMA Awards pada 2013 dan 2014 itu memberitahu, selama sedekad menjadi penyanyi, banyak yang telah dilalui.
“Pelbagai pengalaman ditimba telah cukup membuatkan dirinya bersedia melebarkan sayap ke peringkat seterusnya.
Ujar Poovaa, dia memang meminati bidang muzik sejak dari kecil dan telah menghadiri kelas piano seawal umur tujuh tahun.
Bahkan, Poovaa juga sudah mula berjinak-jinak dalam penghasilan lirik dan melodi.
Meskipun sedar kehadirannya dalam industri arus perdana agak lewat, namun berbekalkan pengalaman yang ada termasuk pernah mewakili Malaysia ke Festival Muzik Hong Kong Asian-Pop
pada 2015, Poovaa tidak mahu melepaskan peluang yang diberikan kepadanya.
“Saya berharap masyarakat Malaysia dapat menerima kehadiran Karya dengan hati terbuka dan memberi peluang kepada saya untuk meneruskan kerjaya nyanyian,” ujar penyanyi berusia 39 tahun itu.