fbpx

Institusi di bawah pentadbiran agama di Parit Buntar, Bagan Serai ditutup sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Akmal

IPOH – Semua sekolah dan institusi yang berdaftar di bawah Pentadbiran Agama Islam Bagan Serai dan Parit Buntar akan ditutup bermula 7 hingga 20 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ia dilakukan bagi membendung penularan Covid-19.

“Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup termasuk Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Kerian dan Sekolah Tahfiz Negeri.

“Penutupan ini melibatkan semua agensi berdaftar di bawah Pejabat Pentadbiran Agama Islam di kedua-dua daerah bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“Kita berharap agar masyarakat memahami situasi yang dihadapi selain memberi kerjasama dalam usaha membendung penularan gelombang wabak kali ini dan teruskan berdoa serta berusaha mematuhi arahan yang dikeluarkan agar keadaan di Malaysia ini kembali seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata, penutupan institusi dan sekolah itu membabitkan semua Tadika Islam Perak (TIP), Sekolah Rendah Agama Rakyat (KAFA), Maahad Tahfiz, Pondok Pengajian Islam, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI).

Katanya, usaha itu tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan penuh dan kerjasama yang baik daripada masyarakat terutamanya di Bagan Serai dan Parit Buntar.

Beliau berkata, mengenai operasi masjid di daerah berkenaan, hanya 13 jemaah dibenarkan solat berjemaah dan solat Jumaat di semua masjid di Parit Buntar yang terdiri daripada 10 Ahli Jawatankuasa masjid, imam, siak dan bilal yang tidak melibatkan Daerah Bagan Serai.

“Kuliah pengajian di masjid dan surau turut dihentikan sehingga 20 November, dan bagi mereka yang sedang menguruskan proses pernikahan boleh hubungi Pejabat Agama Daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga diseru supaya tidak panik dan terus mematuhi arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Mukim Parit Buntar, Perak berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.

Ia berikutan sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan itu.

Ismail Sabri dipetik berkata, penilaian risiko oleh KKM pula menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19 terus berlaku di mukim tersebut.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI