KOTA TINGGI – Kedai sentiasa buka tetapi pelanggan nampak bertutup dan dalam keadaan usang.
Itu dilema yang terpaksa ditanggung seorang pengusaha kedai makan di Taman Sri Saujana di sini selepas perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu dipercayai telah disihir oleh individu tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menganggu rezekinya.
Pemilik restoran, Shahizul Ezuani Zulkifli, 31, berkata, situasi itu bertambah buruk apabila perniagaannya turut terjejas sehinggakan dia pernah meraih pendapatan serendah RM1.70 sehari.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, terdapat beberapa tanda ‘buatan orang’ di kedainya yang didakwa dihantar sejak beroperasi dua tahun lalu.
“Selama dua tahun berniaga, macam-macam dugaan yang datang, tetapi saya tidak pernah meminta simpati daripada mana-mana pihak sekali pun suami saya, Mohamad Najib Tauhed, 32, yang turut disahkan menghidap kanser darah tahun lalu.
“Saya sabar sepanjang diperlakukan sebegini sehingga ada orang tegur dan maklumkan kedai saya sentiasa tutup walaupun premis itu sebenarnya buka. Ada juga yang beritahu kedai saya kelihatan usang dan tidak ada meja.
“Bila dimaklumkan seperti itu, saya terus memuat naik di Facebook untuk memaklumkan bahawa kedai saya sebenarnya buka dan respons yang diterima amat memeranjatkan apabila pelanggan pula beritahu kedai saya ‘tutup’,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Shahizul berkata, dia pernah melihat sendiri situasi aneh di premisnya seperti kesan renjisan air selain terdapat bangkai burung yang sengaja ditinggalkan oleh pihak terbabit.
“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), dapat dilihat kelibat seseorang yang sedang merinjis air di hadapan kedai,” katanya.
Tambah wanita itu, jika sebelum ini hasil perniagaannya pernah mencecah jualan sehingga RM1,800 sehari, namun selepas kedainya disihir, jualan paling tinggi yang diraih hanya RM50 dan paling rendah RM1.70 sehari.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan dia kebingungan kerana perlu membayar sewa kedai sebanyak RM2,000 sebulan.
“Saya hampir berputus asa sehinggalah saya berjumpa seorang perawat Islam yang meminta saya mengamalkan bacaan ayat ruqyah di kedai kami.
“Setiap kali berlaku keadaan yang sama, saya sendiri yang akan ‘pagar’ kedai dengan ayat-ayat ruqyah yang diberikan,” katanya.