SEDANG namanya meningkat naik kerana drama 18 Again, pelakon muda Lee Do-hyun tiba-tiba diserang kontroversi. Semuanya gara-gara pendedahan peminat tentang isu pemberian hadiah dan seorang wanita didakwa kekasih pelakon itu.
Baru-baru ini, laporan Kpopreporter melaporkan ada peminat menghidu akaun Instagram peribadi Do-hyun meninggalkan tanda suka pada gambar seorang wanita tidak dikenali.
Gambar berkenaan menunjukkan wanita itu memakai topi kepala babi. Sejurus kemudian, peminat mendakwa topi berkenaan adalah hadiah sempena ulang tahun kelahiran Do-hyun.
Menepis dakwaan wanita itu adalah kekasih Do-hyun, agensinya memberitahu, mereka hanyalah kenalan bukannya kekasih. Malah, gambar itu diambil tiga tahun lalu dan topi berkenaan dicuba oleh semua kenalan Do-hyun pada waktu itu.
Bagaimanapun, peminat tetap meluahkan kekecewaan kerana selama ini Do-hyun tidak pernah mengucapkan terima kasih atau menunjukkan penghargaan atas semua hadiah yang diberikan peminat.
Daripada sisi lain, peminat setia aktor itu berkata, kontroversi yang timbul ini adalah satu cubaan untuk Do-hyun ketika namanya sedang berada di puncak populariti.