PENYANYI Nichkhun berjaya ‘meloloskan’ diri terpilih sebagai salah seorang pelakon utama untuk sebuah filem Hollywood berjudul Hong Kong Love Story.
Berita berkenaan dikongsikan agensi JYP Entertainment baru-baru ini dengan memberitahu, Nichkhun akan membintangi filem yang diarahkan oleh Keoni Waxman itu.
Selain Nichkhun, filem berkenaan juga menampilkan nama-nama pelakon antarabangsa iaitu Byron Mann, Dominika Kachlik dan Kenneth Tsang.
Skrip filem itu difahamkan ditulis sendiri oleh Mann yang merupakan kisah benar daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Jalan cerita berkisar tentang dua lelaki berkawan baik yang datang ke Hong Kong untuk mencari cinta. Mann dan Nichkhun memegang watak dua sahabat baik yang datang daripada keluarga berada.
Bagaimanapun, hubungan baik mereka diuji sewaktu bertemu dengan seorang model jelita lakonan Kachlik.
Terdahulu, Nichkhun yang merupakan anggota kumpulan 2PM pernah membintangi filem Thailand berjudul Brother of The Year yang menduduki tangga kedua filem paling laku di negara itu pada 2018.