LONDON – Pelumba Amerika Syarikat (AS), Garrett Gerloff dijangka menggantikan pelumba Monster Energy Yamaha, Valentino Rossi menjelang Grand Prix (GP) Europa di Valencia pada hujung minggu ini.
Juara dunia tujuh kali MotoGP, Rossi masih dijangkiti Covid-19 selepas disahkan positif dalam ujian ‘polymerase chain reaction’ (PCR) yang dilakukan kelmarin.
Jika Rossi tidak melepasi ujian kedua PCR, pelumba berusia 41 tahun dari Itali itu kemungkinan tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan hujung minggu ini dan Yamaha mengarahkan pelumba GRT Yamaha yang beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Gerloff akan mengambil tempat pelumba Itali tersebut.
“Saya sangat berbesar hati kerana Yamaha menyenaraikan nama saya dan memberi peluang untuk berada dalam perlumbaan MotoGP. Sudah pasti ia merupakan impian saya untuk menunggang jentera YZR-M1.
“Saya harap Rossi cepat pulih daripada jangkitan Covid-19 dan sudah pasti semua peminat di seluruh dunia rindu untuk melihat kelibatnya dalam perlumbaan MotoGP.
“Sekiranya saya diberikan peluang minggu ini, sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik meskipun saya sedar ia bukan tugas mudah untuk menunggang jentera MotoGP buat pertama kali.
“Ia perlukan masa untuk memahami karakter jentera MotoGP, tayar, brek dan sebagainya. Saya juga belum pernah turun beraksi di Valencia dan saya harap mampu melakukannya jika diberi peluang,” katanya.
Rossi sebelum ini terlepas dua perlumbaan di Aragon, Sepanyol selepas diuji positif Covid-19 dan diarahkan untuk menjalani kuarantin. – AGENSI