PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana mendedahkan dia diberi amaran oleh seorang wanita selepas membalas senyuman lelaki yang juga suami orang di sebuah restoran baru-baru ini.
Situasi itu diceritakan Mimi Lana atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 25, dalam satu hantaran di Instagramnya semalam.
Difahamkan, perkara itu tercetus daripada impak lakonannya sebagai Farah iaitu seorang penggoda suami orang dalam drama Hati Yang Tersakiti yang sedang hangat ditayangkan di TV3 ketika ini.
Menerusi drama tersebut, Mimil Lana bergandingan bersama Remy Ishak dan juga Nad Zainal.
“Tadi pergi makan di kedai mamak, ada seorang mak cik dengan suaminya duduk selang semeja dengan saya.
“Dia (suami wanita itu) senyum, saya senyum balik pada dia.
“Bila dia hendak balik, dia datang dekat saya cakap jangan senyum-senyum tengok suami dia,” kongsi Mimi Lana.
Tambah bekas kekasih Syafiq Kyle itu, ekoran daripada kejadian tersebut, dia tidak tahu untuk memberi reaksi kepada wanita berkenaan bagi membalas tegurannya.
Perkongsian Mimi Lana itu mendapat reaksi rakan selebriti lain seperti Mira Filzah dan Nazim Othman yang turut menyifatkan situasi tersebut sebagai lucu.
Terdahulu, ruangan Instagram Mimi Lana turut dibanjiri dengan komen-komen negatif kerana wanita itu berjaya membuatkan penonton benci dan marah terhadap watak anatagonisnya sebagai Farah.