fbpx

Bot nelayan langgar zon penangkapan ikan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan tempatan ditahan kerana melanggar zon penangkapan ikan di Sungai Tiang, Bagan Datuk, petang semalam.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B yang dikesan menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan termasuk melanggar zon penangkapan ikan yang dibenarkan untuk bot jenis itu.

Bot tersebut ditahan pada kedudukan 2.9 batu nautika barat daya Sungai Tiang, Bagan Datuk, pada pukul 4.30 petang semalam.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman, berkata operasi itu dilakukan susulan aduan oleh Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) mengenai aktiviti salah laku segelintir bot-bot nelayan tempatan yang melanggar zon penangkapan ikan ditetapkan.

Menurutnya, selepas menerima beberapa siri aduan, pihak Maritim Negeri Perak dengan segera mengarahkan bot peronda Maritim ke lokasi untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan.

“Ternyata aduan itu benar dan mendapati bot nelayan tempatan kelas B itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1986 iaitu melanggar zon penangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bot tersebut bersama empat kru warga tempatan telah ditahan dan dibawa ke pusat tahanan vesel di Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

Shahrizan mengingatkan pengusaha-pengusaha bot pukat tunda tempatan agar mematuhi sistem pengezonan kawasan penangkapan ikan yang telah ditetapkan dalam syarat lesen vesel.

Katanya, ini kerana pihaknya turut menerima aduan daripada nelayan-nelayan tradisional yang menyatakan kegiatan tersebut telah menjejaskan hasil pendapatan mereka serta mengancam ekosistem perikanan di negeri Perak.

“Ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Jaring di atas aduan dan maklumat yang diberikan, secara tidak langsung membantu Maritim Negeri Perak dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negeri,” katanya.

Ujarnya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Ops Benteng di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

“Orang awam dan komuniti maritim digesa bekerjasama dalam usaha membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF di 011- 6251 1123,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI