fbpx

Bila semut menggigit gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO!

SAINGAN Piala Malaysia akan membuka tirai malam ini dengan 15 pasukan bakal berentap untuk memburu slot ke pusingan suku akhir, separuh akhir dan seterusnya perlawanan akhir pada 22 November ini.

Pasti ada yang pelik kenapa hanya 15 pasukan? Seharusnya 16 pasukan yang layak bersaing pada Piala Malaysia 2020 iaitu melibatkan 11 pasukan dari Liga Super, manakala lima lagi pasukan Liga Premier.

Akibat Covid-19, Sabah gagal mendapat pelepasan keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut sekali gus menyaksikan skuad Tembadau itu digugurkan.

Bahkan, akibat pandemik itu, format pertandingan Piala Malaysia turut berubah dengan menjadikannya sebagai pertandingan kalah mati tiada timbal balik, dalam erti kata lain hanya satu perlawanan.

Berbanding aturan sebelum ini, 16 pasukan yang layak akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan saingan timbal balik dan mereka masih boleh mencatur peluang jika seri atau kalah.

Hanya ada satu peluang untuk dimanfaatkan 100 peratus pasukan bersaing. Tiada ruang melakukan kesilapan kerana jika tewas tiada peluang kedua.

Mungkin format baharu Piala Malaysia ini dijangka menimbulkan kegusaran kepada jurulatih mahupun pemain, namun sebaliknya rata-rata pasukan merasakan masing-masing memiliki peluang cerah untuk menjulang piala berprestij tersebut.

Boleh dikatakan saingan Piala Malaysia kali ini menyaksikan peluang terbuka untuk semua pasukan tidak mengira datang dari Liga Super atau Liga Premier. Jika gigitan seekor semut kena pada tempatnya, sebesar gajah pun boleh tumbang.

Justeru, saingan pada edisi ini dikatakan agak sukar diramalkan, malah akan memberi cabaran besar kepada pasukan-pasukan pilihan. Maksudnya, pasukan kerdil mampu melakukan kejutan jika mereka memberikan kudrat 100 peratus di atas padang.

Jurulatih juga memainkan peranan penting dalam memilih pemain yang benar-benar terbaik tanpa terkesan dengan soal pemain digantung atau cedera.

Penulis jangkakan 90 peratus akan menyebut juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pilihan selepas undian dilakukan.

Mungkin tidak salah, skuad Harimau Selatan yang juga juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut itu sudah berada dalam kelas tersendiri, namun siapa boleh jangka nanti apa akan berlaku.

Ada yang melihat Selangor bakal menamatkan ‘Misi 34’ dengan alasan masing-masing, bagaimana pula dengan naib juara Kedah yang akan bertembung dengan skuad Tok Gajah pada aksi pembuka tirai nanti.

Jangan dilupakan pasukan The Bos Gaurus bimbingan Mehmet Durakovic selain skuad Penyu yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain. Pasukan ini agak senyap kebelakangan ini, namun siapa sangka jika ubi berisi.

Namun, paling menarik perhatian penulis adalah penampilan pasukan juara Liga Premier iaitu Pulau Pinang yang digambarkan bermain gaya ala Barcelona oleh peminat-peminat. Meskipun pasukan kerdil, skuad Harimau Kumbang tidak boleh dipandang sinis kerana mungkin tiba masanya semut akan menggigit gajah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI