fbpx

Belanjawan 2021 : Peruntukan kepada Wisma Putra akan bantu kementerian lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin

PUTRAJAYA – Sebanyak RM778 juta diperuntukkan kepada Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam Belanjawan 2021 dengan RM703.3 juta daripada jumlah keseluruhan adalah bagi perbelanjaan pengurusan manakala RM74.8 juta merupakan perbelanjaan pembangunan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata, peruntukan Wisma Putra itu termasuklah bagi menaik taraf infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi di Wisma Putra serta pendigitalan perkhidmatan konsulat Malaysia di luar negara.

“Wisma Putra akan berusaha sedaya upaya memanfaatkan peruntukan RM778 juta ini demi mempertahankan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa dan mengukuhkan peranan Pejabat-Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

“Wisma Putra juga akan membela kebajikan warga kementerian di seluruh dunia selain menjayakan perancangan kerajaan berkaitan pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, selain menumpukan terhadap perancangan di Wisma Putra, kementerian juga sentiasa bersedia memikul tanggungjawab yang melangkaui peranan sedia ada dan akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu kementerian- kementerian lain menjayakan usaha serta inisiatif dalam mendepani era pandemik yang mencabar,

“Antaranya, kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana Wisma Putra akan terus bekerjasama rapat dalam usaha memastikan Malaysia menjadi negara penerima manfaat terawal vaksin Covid-19 sebaik sahaja ia berjaya dibangunkan.

“Ini sejajar dengan pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menaikkan siling Kumpulan Wang Covid-19 kepada RM65 billion yang mana antara tujuannya ialah perolehan vaksin.

“Wisma Putra juga akan bantu sehabis baik demi menjayakan perancangan Kerajaan untuk menyertai program Covid-19 Vaccine Global Access atau COVAX,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, kerjasama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bagi membantu menjayakan perancangan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 untuk merancakkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing industri sawit menerusi inisiatif program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan.

“Lain-lain kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di mana Wisma Putra akan membantu memperkasa sektor pertanian memandangkan sektor ini menyumbang 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuklah membantu menerokai ruang pasaran baharu bagi produk makanan berasaskan sektor pertanian negara.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Wisma Putra juga menyokong penuh dan akan membantu sehabis baik menjayakan perancangan kerajaan di bawah agenda matlamat pembangunan lestari untuk menubuhkan Dana Amanah Malaysia-SDG atau MySDG Trust Fund dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia.

Beliau berkata, Wisma Putra bersedia bekerjasama dengan semua kementerian demi kepentingan negara dengan memanfaatkan hubungan diplomasi Malaysia dengan rakan negara di seluruh dunia.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI