PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini memenuhi tuntutan prinsip Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam keadaan negara sedang berdepan wabak Covid-19.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, dalam keadaaan negara sedang menghadapi wabak Covid-19,
kerajaan masih lagi mampu mengemukakan satu belanjawan yang mantap dan mampu memacu kemajuan negara menjelang tahun 2021.
Beliau berkata, pihaknya amat menghargai sentuhan Belanjawan 2021 yang jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang terus memberi pengiktirafan terhadap usaha memartabatkan syiar Islam dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Peruntukan ini meningkat sebanyak 100 juta ringgit berbanding tahun 2020. Seperti biasa, peruntukan ini akan turut dinikmati bersama pihak pengurusan hal ehwal Islam di negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, peruntukan besar itu akan memberi manfaat kepada 4,000 orang guru takmir, 35,000 orang guru KAFA, 14,373 orang Imam dan 15,766 orang bilal, noja/siak/marbut.
Abdul Aziz berkata, pihaknya juga bersyukur atas inisiatif kerajaan dengan menyediakan caruman penuh di bawah Skim bencana Pekerjaan PERKESO kepada Guru Takmir, Imam, Bilal, Siak, Noja dan Merbut.
“Jakim juga menghargai pengumuman inisiatif Pendidikan Islam dan Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2020, guru takmir akan menerima kenaikan kadar elaun daripada RM800 kepada RM900 sebulan.
Manakala, Imam, Bilal, Siak, Noja, Merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA pula akan turut menerima bayaran khas one-off sebanyak 500 ringgit.
Selain itu, RM1.4 bilion bajet pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam pada tahun ini juga akan memberi tumpuan bagi memperkasakan pengurusan wakaf melalui Yayasan Waqaf Malaysia melalui pembangunan Pelan Induk Wakaf Nasional dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).-K!ONLINE