PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan memperuntukkan RM45 juta bagi memperkasakan sektor pendidikan khas di negara ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Radzi Jidin berkata, menerusi peruntukan itu, kementerian kini berada pada landasan yang betul dalam memberi ruang dan peluang yang terbaik untuk anak-anak berkeperluan khas.
“Alhamdulillah, hari ini, dalam Belanjawan 2021, sebanyak RM45 juta telah diluluskan untuk pemerkasaan pendidikan khas.
“Terima kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana memberi keutamaan kepada permohonan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, ketika mula dilantik sebagai Menteri Kanan (Pendidikan), beliau telah meminta supaya KPM memberi tumpuan khusus kepada usaha untuk memperkasakan pendidikan khas di sekolah.
Radzi berkata, beliau dapati masih banyak ruang untuk ditambah baik dalam sektor pendidikan khas.
“Belajar daripada pengalaman tinggal dan berkhidmat dalam sektor pendidikan di Australia selama hampir 20 tahun, saya dapati masih banyak ruang untuk kita tambah baik pendidikan khas,” katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 hari ini, KPM terus menerima peruntukan terbesar membabitkan dana sebanyak RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.-K!ONLINE