PUTRAJAYA – Kenaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang ditingkatkan sekali ganda daripada RM150 juta kepada RM300 juta seperti dibentangkan pada Belanjawan 2021 memberi kelegaan kepada 150,000 pekebun kecil getah persendirian.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kenaikan sekali ganda IPG tersebut menunjukkan kerajaan prihatin dengan perkembangan rancak sektor komoditi negara.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz khususnya dan kerajaan amnya yang amat prihatin dengan perkembangan sektor komoditi negara.
“Dengan kenaikan ini, pendapatan 150,000 pekebun kecil getah persendirian daripada keseluruhan 450,000 dapat distabilkan dan memberikan kelegaan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, beliau juga akan memastikan insentif pengeluaran lateks sebanyak RM16 juta secara padanan yang bakal dimulakan di Koridor Lateks Pantai Timur merangkumi Pahang, Tengganu dan Kelantan dimaksimumkan pelaksanaannya.
Katanya, ia merupakan usaha dalam memperkenalkan transformasi pengeluaran getah dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi pembangunan sektor komoditi, program pemilikan sijil Minyak Sawit Mampan dengan peruntukan RM20 juta akan diteruskan bertujuan memastikan kualiti minyak sawit Malaysia terus dipertingkatkan serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Bagi bidang kayu-kayan pula, saya menyambut baik pembukaan kawasan perindustrian perabot di Pagoh untuk merancakkan industri perkayuan dan menambah peluang pekerjaan bakal menjadi lembaran baru sektor ini di selatan tanah air.
“Keprihatinan kerajaan terhadap usaha kementerian saya mengangkat sektor hiliran kayu-kayan ini membuktikan ia mampu menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih mampan,” katanya.
Mohd. Khairuddin berkata, penyediaan dana pusingan RM500 juta bagi program Pinjaman Pembangunan Ladang Hutan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) khusus untuk pembangunan ladang hutan berkeluasan empat hektar dan ke atas akan menggalakkan lagi usaha menyediakan bekalan kayu-kayan khususnya bagi industri baharu seperti buluh, eucalyptus dan kayu karas ke tahap lebih tinggi dalam merancakkan kelangsungan ekonomi negara.
Pada masa sama, beliau juga menghargai keprihatinan empat syarikat sarung tangan utama negara iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan yang telah menyatakan komitmen untuk menyumbang RM400 juta bagi memerangi wabak Covid-19 selain sudi untuk menampung sebahagian kos vaksin serta kos perbelanjaan peralatan.
“Syabas diucapkan kepada semua syarikat ini dan saya berharap lebih banyak syarikat tampil melakukan tindakan sama sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, Belanjawan 2021 adalah bagi memulihkan semangat rakyat dan negara kembali merancakkan ekonomi ketika serangan wabak Covid-19.
“Justeru, saya amat berharap belanjawan ini disokong oleh semua Ahli Parlimen demi kemakmuran ekonomi rakyat dan negara kita khususnya dalam mendepani pandemik wabak Covid-19 ketika ini.
“Marilah kita bersama-sama bersatu mengangkat belanjawan ini demi rakyat,” katanya. -K!ONLINE