Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR dan SAFINA RAMLI
PUTRAJAYA – Golongan yang kehilangan pendapatan akibat diberhentikan kerja ekoran pandemik Covid-19 berharap ada ‘habuan’ untuk mereka dalam Belanjawan 2021, hari ini.
Bekas pramugari Malaysia Airlines, Maliah Md. Noor, 27, berkata, dia hanya dapat menimba pengalaman sebagai pramugari selama dua tahun sebelum kontrak perkhidmatannya ditamatkan kerana syarikat terjejas dengan koronavirus.
Sehubungan itu, Maliah berharap kerajaan dapat memberi bantuan kepada syarikat penerbangan untuk kembali pulih serta pekerja-pekerja sektor berkenaan dalam meneruskan kelangsungan hidup.
“Kalau diberi peluang, saya mahu kembali sebagai kru penerbangan walaupun sedar industri itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun untuk kembali pulih,” katanya.
Dalam pada itu, Maliah yang kini bekerja sebagai jurujual kereta mengakui semakin selesa dengan kerjaya baharunya itu dan sehingga kini dia berjaya menjual enam buah kereta dalam masa dua bulan.
“Alhamdulillah, jualan agak memberangsangkan, rakan-rakan sekerja juga banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar untuk saya terus bertahan dalam bidang ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pelukis pelan, Nurul Atiqah Mohd. Zain, 27, memohon kerajaan memperuntukkan bantuan kewangan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelbagai kursus bagi meningkat kemahiran individu yang kehilangan pekerjaan.
“Ramai yang berdepan dengan masalah pengangguran dan saya sendiri juga tidak terlepas daripada cabaran selepas diberhentikan kerja sejak lima bulan lalu.
“Sehingga hari ini, saya masih cuba untuk menerima kenyataan di samping berjimat dan berbelanja dengan lebih bijak,” ujarnya yang kini menjual produk kecantikan secara online.
Sementara itu, bekas eksekutif pemasaran, Sarah Zulkefly, 30, berkata, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan lanjutan moratorium bagi meringankan beban individu yang diberhentikan kerja.
“Masalah utama kami ialah melunaskan bayaran bil bulanan seperti kereta dan rumah.
“Sekiranya lanjutan moratorium dilaksanakan, kami ada masa untuk melakukan penstrukturan semula bagi mengurangkan bebanan hutang,” katanya yang diberhentikan kerja April lalu.