MANCHESTER – Bekas pemain Manchester United, Paul Scholes mengkritik keras corak permainan yang dipamerkan pasukan itu terutama benteng pertahanan ketika mereka tewas 1-2 kepada Istanbul Basaksehir awal pagi semalam.
Menurutnya, cara United bertahan seperti pasukan bawah 10 tahun beraksi menyebabkan mereka dihukum dengan serangan balas pantas pasukan dari Turki itu terutama gol pertama jaringan Demba Ba.
“Ketika sepakan penjuru diambil, sepatutnya ada pemain pertahanan yang berada di bahagian belakang untuk mengawal keadaan. Mereka gagal untuk berbuat demikian, macam budak bawah 10 tahun bermain.
“Kita boleh faham jika ketika itu perlawanan sudah berada di penghujung dan pasukan memerlukan gol tetapi ia masih di awal permainan.
“Ia sangat memalukan. Saya tidak tahu apa yang dilakukan oleh barisan pemain pertahanan ketika itu. Mereka perlu bertanggungjawab dengan kekalahan ini. United mengamalkan corak bertahan satu lawan satu tetapi mereka tidak mampu melakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, Scholes turut mengecam aksi dipamerkan penyerang United, Anthony Martial yang disifatkan tidak melakukan apa-apa pada perlawanan itu biarpun berjaya meledak satu gol.
“Banyak kali saya tengok, apabila pemain tengah mendapat bola, dia hanya berdiri di antara dua pemain pertahanan lawan dan tidak melakukan apa-apa. Kualiti yang ada padanya sangat teruk.
“Secara keseluruhan, pasukan itu gagal beraksi dengan baik, mereka mudah memberikan bola kepada pasukan lawan, membuat keputusan yang salah dan berulang kali cuba memperdayakan pemain lawan walaupun tidak berjaya.
“Misalnya Paul Pogba, cuba mengawal bola terlalu lama sehingga ia memberikan kesan kepada keseluruhan permainan dan menjejaskan momentum para pemain lain,” katanya.
– AGENSI