PETALING JAYA – Teka-teki pemilik vokal di sebalik topeng terjawab sepenuhnya apabila penyanyi Aina Abdul yang memakai kostum Bunga Raya diumumkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia (TMSM) musim pertama.
Pada konsert akhir program tersebut, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 27, mendapat markah tertinggi daripada pihak juri iaitu sebanyak 96 peratus menerusi persembahan dua buah lagu berjudul Malam Ini Kita Punya dendangan asal Bunkface dan Listen (Beyonce).
Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan bekas peserta Ceria Megastar musim ketiga, Vanessa Ben Reynauld sebagai Rajah Brooke di tempat kedua.
Sementara itu, ahli kumpulan K-Clique, Tuju yang memakai kostum Orang Utan diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Tempat keempat pula menjadi milik Datin Alyah yang memakai kostum Wau dan kedudukan kelima dimiliki pemakai topeng Enggang, bekas juara Akademi Fantasia pertama, Vincent Chong.
Kesemua persembahan peserta diadili lapan orang juri terdiri daripada barisan selebriti tanah air iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak.
Malam final turut menyaksikan kemunculan penyanyi juga komposer Mark Adam hadir mengisi kerusi Zizan Razak sebagai juri.
Terdahulu, rancangan yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal itu turut menyaksikan penyingkiran seramai tujuh peserta sepanjang lapan minggu bersiaran.
Tujuh selebriti tersebut ialah Hairul Azreen (Ayam Jantan), Yana Samsuddin (ABC), Chiwan Cilok (Rhino), Datuk Mirnawan Nawawi (Nasi Lemak), Zain Hamid (Musang King), Ebby Saiful (Rimau) dan Datin Paduka Eina Azman (Rafflesia).
TMSM menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat.
Senarai markah pemenang:
- 96 peratus – Aina (Bunga Raya)
- 95 peratus – Vanessa (Rajah Brooke )
- 94 peratus – Tuju (Orang Utan)
- 88 peratus – Alyah (Wau)
- 87 peratus -Vince (Enggang) – K! ONLINE